Powered By Blogger

Rabu, 22 Desember 2010

PENGARUH FACEBOOK DALAM KEHIDUPAN MASYARAKAT KINI

Perubahan teknologi telah membawa kepada perubahan gaya hidup. Kini dunia dirasakan semakin sempit kerana apa yang berlaku di hujung dunia sana; hujung dunia disini telah mendapat tahu dalam beberapa saat sahaja. Menurut penyelidikan yang dibuat oleh IDC Research, pengguna Internet di Malaysia telah menjangkau 16 juta orang dan angka tersebut dijangka akan melonjak kepada 20.4 juta orang pada 2012. Daripada jumlah itu, perkhidmatan laman web rangkaian sosial di Malaysia telah mencatatkan penggunaan sebanyak 66 % pada bulan Disember 2008 iaitu di tangga ketiga selepas Singapura (74.3%) dan Korea Selatan (68%). Penggunaan aplikasi rangkaian sosial telah mula menular sehingga telah menjadi bagaikan satu budaya dan santapan harian bagi sebahagian besar pengguna Internet di seluruh dunia. Ia semakin bercambah sehingga mula mendominasi carta dari segi jumlah pelawat yang melayari alam siber dan dunia komunikasi maya. Ia begitu mendapat perhatian di seluruh dunia kerana ia merupakan cara berkomunikasi yang paling menjimatkan dalam menjalin kembali hubungan dengan sahabat lama yang terpisah dan mendapat kawan baru hanya dengan berada dalam talian tanpa perlu mengeluarkan sebarang kos. Selain itu ia juga popular dikalangan mereka yang terlibat dalam perniagaan dimana ia digunakan bagi mempromosi dan menjual barangan atau perkhidmatan.

Secara amnya, laman web rangkaian sosial merujuk kepada perkhidmatan yang membenarkan individu membentuk komuniti sosial secara dalam talian untuk pelbagai tujuan dan aktiviti. Secara keseluruhannya, kini terdapat lebih kurang 170 laman web rangkaian sosial yang popular dan aktif digunakan oleh pengguna Internet seluruh dunia seperti Facebook, Twitter, Myspace, Friendster dan sebagainya. Walaupun fenomena rangkaian sosial global yang popular seperti Facebook telah mula menembusi pasaran dunia, terdapat juga beberapa aplikasi rangkaian sosial tempatan yang menawarkan kandungan dan perkhidmatan tempatan yang aktif digunakan seperti eKawan, Ruumz, GoEatOut, Circles99, FriendX, eMeiMei serta Pacmee. Kebanjiran laman web sosial ini telah membawa perubahan besar kepada dunia perhubungan dimana ia digunakan secara meluas bukan sahaja oleh remaja malah pemimpin negara sendiri bagi memudahkan mereka berkomunikasi serta saling menyampaikan pendapat dan pandangan. Tidak semata-mata menyediakan platform perbincangan atau pertukaran pesanan di antara ahli, kehadiran laman-laman ini turut menawarkan pelbagai medium interaksi moden. Ia termasuklah aplikasi perbualan dalam talian, perkhidmatan emel, paparan video, pembinaan blog dan perkongsian fail.